Friday, September 10, 2010

Hari Raya Pada Hari Jumaat : Adakah Gugur Kefardhuan solat Jumaat ?


Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana telah berjaya menamatkan ibadah puasa pada tahun 1431H ini . Mudah-mudahan amalan puasa yang kita telah lakukan pada kali ini di terima oleh Allah S.W.T sebagai amalan yang terbaik berbanding ramadhan yang telah kita lalui sebelum ini.

Kita juga sedia maklum bahawa 1 Syawal pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari. Maka sudah pasti akan berlakunya dua kali khutbah yang akan di sampaikan oleh khatib setiap masjid di serata dunia. Namun apakah pandangan para ulama terhadap masalah ini, yang jarang-jarang sekali berlaku di kalangan kita.
Persoalannya apabila Hari Raya Aidil Fitri atau Aidil Adha jatuh pada hari Jumaat, adakah gugur solat Jumaat setelah dilakukan solat Hari Raya pada pagi tersebut ?
Pandangan Para Fuqaha’
Para Ulamak Islam telah berselisihan pendapat kepada tiga pandangan seperti berikut :
Pendapat Pertama
Ø Solat Jumaat Gugur Apabila Telah Di Kerjakan Solat Hari Raya Puasa Atau Hari Raya Aidil Adha Pada Paginya.
Pendapat ini di keluarkan oleh Mazhab Hambali, A’to bin Abi Robah, Ali bin Abi Tolib, Abdullah bin Zubair, As-Sya’bi, Al-Auzaei’, dan An-Nakhaei’.
Dalil Pendapat Pertama
1) Hadis Abu Hurairah
Maksudnya : Rasulallah S.A.W telah bersabda : sesungguhnya pada hari ini, hari raya telah berhimpun dengan hari Jumaat, sesiapa yang menghendaki dia boleh memadai solat Jumaat ( gugur solat Jumaat ) dengan dia menunaikan solat hari raya. ( hadis riwayat oleh Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Khotib Al-Baghdadi, Al-Hakim dan Al-Baihaqi.
2) Hadis Zaid bin Arqam
Maksudnya : Zaid bin Arqam berkata : Aku menyaksikan bersama nabi S.A.W ketika hari raya yang berhimpun dengan solat Jumaat pada hari yang sama, kemudian Rasulallah S.A.W memberi pelepasan untuk solat Jumaat sambil berkata : “Sesiapa yang ingin solat Jumaat maka dia boleh melakukannya”. ( Hadis riwayat An-Nasaei, Abu Daud, Ad-Darimi, Al-Hakim dan Al-Baihaqi.
Dua hadis ini menunjukkan kepada kita, bahawa gugurnya kewajipan menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, menurut kepada pendapat yang pertama ini.
PERINGATAN :
Mazhab Hambali berpendapat solat Jumaat gugur bagi makmum sahaja, manakala bagi Imam tidak gugur sama sekali solat Jumaat. Seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Quddamah di dalam Al-Mughni seperti berikut :
Adapun Imam tidak gugur solat Jumaatnya kerana sabda Nabi S.A.W :
اجتمع في يومكم هذا عيدان فمن شاء أجزأه من الجمعة وإنا مجمعون. ( رواه ابن ماجة )
Maksudnya : Hari ini telah berhimpun dua hari raya ( hari raya dan hari jumaat ), maka sesiapa yang hendak, dia boleh menunaikan solat hari raya dan meninggalkan solat Jumaat. Sesunggunhnya kami menunaikan solat Jumaat ( kerana baginda merupakan Imam ). (Riwayat Ibnu Majah).
Sesungguhnya jika imam tidak menunaikan solat Jumaat nescaya mereka yang wajib menunaikan solat Jumaat dan yang tidak wajib tetapi berhasrat untuk pergi solat Jumaat tidak dapat menunaikan solat Jumaat ( kerana tiada Imam ). ( Al-Mughni 2/212 ).
Pendapat Kedua
Ø Solat Jumaat Tidak Gugur Walaupun Telah Menunaikan Solat Hari Raya Pada Pagi Jumaat.
Pendapat ini menurut Mazhab Hanafi , Mazhab Maliki, sebahagian Ulamak As-Syafi’yyah dan Mazhab Az-Zohiri. Menurut Ibnu Qudamah juga, beliau berpandangan bahawa pendapat ini dipegang oleh kebanyakan para fuqaha’.
Dalil Pendapat Kedua
Pendapat kedua ini, menyatakan solat Jumaat tidak gugur dengan dilaksanakan solat hari raya samaada penduduk yang tinggal berhampiran dengan masjid ataupun tinggal jauh di kawasan pendalaman masjid dengan mendatangkan dalil seperti berikut :
1) Berdasarkan dalil umum di dalam ayat Al-Quran surah Al-Jumu’ah ayat ke 9 yang bermaksud :
Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat Yang sebenarnya),
2) Hadis Abdullah Ibnu Umar dan Abu Hurairah
Maksudnya : Rasulallah S.A.W telah bersabda di atas mimbar, hendaklah mereka menghentikan daripada perbuatan meninggalkan solat Jumaat ataupun Allah S.W.T akan menutup pintu hati mereka lalu mereka menjadi orang-orang yang lalai. ( hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim ).
Daripada pendapat ini, menyatakan adalah solat Jumaat itu adalah wajib dan Fardhu A’in menurut Ijtima’ ummat Islam. Ibnu Hazam juga berpandangan bahawa solat Jumaat itu fardhu, manakala solat hari raya itu adalah sunat. Perkara yang sunat tidak boleh sama sekali menggugurkan perkara yang wajib.
Pendapat Ketiga
Ø Solat Jumaat Gugur Bagi Mereka Yang Tinggal Dikawasan Pendalaman, Setelah Pulang Dari Solat Hari Raya Pada Hari Jumaat.
Pendapat ini di pegang oleh Mazhab As-Syafie.
Dalil Pendapat Ketiga
Pendapat ketiga yang berpendapat solat Jumaat tidak gugur melainkan kepada penduduk pendalaman yang sukar ke masjid setelah menunaikan solat hari raya secara berjemaah ( Al-Muhazzab 1/360 ), berdasarkan kepada hadis Saidina Usman bin Affan :
Maksudnya : Saidina Usman bin Affan berucap di dalam khutbahnya, “ wahai manusia sesunggugnya hari raya telah berhimpun dengan hari Jumaat pada hari ini. Sesiapa dari kalangan penduduk A’liyah ( sebuah kampung di Madinah ) yang hendak bersembahyang Jumaat bersama kami, maka sembahyanglah. Jika hendak pulang, maka dia boleh beredar ”. ( Riwayat Imam Bukhari, Imam Malik dan Imam Abu Daud ).
Daripada pandangan yang ketiga ini, solat Jumaat tetap hukumnya adalah wajib walaupun bertembung dengan hari raya, melainkan terdapat kesusahan kepada penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman sahaja di beri kelonggaran untuk meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut. Adapun solat Zohor tetap hukumnya wajib dilakukan oleh mereka yang meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut.
Daripada pendapat-pendapat ini, secara praktikal dan keadaan semasa lebih sesuai kita mengambil padangan yang kedua dan ketiga yang menetapkan hukum solat Jumaat adalah wajib dilakukan oleh seluruh orang Islam kerana dalil yang digunakan oleh pendapat yang berpandangan gugur solat Jumaat pada hari tersebut, telah di kritik oleh beberapa ulamak berdasarkan dalil kesahihan hadis tersebut.
Penilaian Terhadap Dalil Yang Digunakan Oleh Pendapat Pertama
· Sanad hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah adalah Dhoi’f. Antara ulamak yang berpendapat demikian ialah :
1) Imam Ibnu Abdul Bar telah menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Syu’bah dari Baqiah bin Walid. Baqiah adalah perawi yang dhoi’f dan tidak boleh berhujah dengan hadisnya.
2) Imam Daruqutni juga berpandangan bahawa hadis ini adalah gharib.
· Sanad hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Arqam adalah dhoi’f, seperti yang dinyatakan oleh para ulamak. Di sini dinyatakan beberapa kritikan mengenai lemahnya hadis tersebut seperti berikut :
1) Syeikh Al-Khauthari telah berkata bahawa pada sanad hadis ini ada perawi yang bernama Israel bin Yunus yang mana Ibnu Madani dan Ibnu Hazam telah menghukumnya sebagai seorang yang dhoi’f.
2) Imam Abu Khuzaimah berkata :
Sekiranya betul hadis ini, aku tidak kenal Iyas bin Abi Ramlah samaada adil atau tidak.
3) Imam As-Syaukani berkata :
Sanad hadis Zaid mengandungi perawi yang bernama Iyas bin Abi Ramlah, sedangkan ia majhul (tidak mengetahui keadaan perawi tersebut samaada dari segi siapakah beliau ataupun keadaannya).
Kesimpulan
Jika kita melihat dari segi waqi' kita di Malaysia yang beramal dengan mazhab Imam As-Syafie, maka lebih sesuai pandangan beliau di ketengahkan kepada masyarakat kita. Walaupun Imam As-Syafie juga berpendapat ketika di dalam keadaan kesusahan atau penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman yang sukar untuk berulang-alik dari kediamannya untuk ke masjid di berikan kelonggaran untuk meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut. Namun dalam konteks kita di Malaysia, mungkin masalah tersebut tidak akan berlaku, kerana setiap sesuatu kawasan pasti akan terdapat sebuah masjid yang berhampiran untuk kemudahan penduduk setempat.
Mudah-mudahan perkongsian artikel pada kali ini mampu memberikan panduan kepada kita semua para sidang pembaca terhadap perselisihan pendapat yang berlaku dikalangan Ulamak. Waallahua'lam.
Kullu A’am Wa Antum Bi Khair.
Di sediakan oleh :
Mohamad Hanif Bin Haron
( Pengerusi FELO MANHAL )

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

.::Rise Of Islam::.

FOM Ads II
FOM Ads

Rangkaian Islam

Download

Followers

سبحان الله

Tazkirah Hari ini

Kata2 Imam Syafie : Ketika ditanya :" Mengapa tuan sering memegang tongkat, padahal tuan bukan seorang yang lemah?"
Ia menjawab :"Agar aku dapat mengingat bahawa aku akan berangkat dari dunia ini."


  © Blogger template 'Grease' by Fariezatie 2010

Back to TOP